AGENDAEKONOMINASIONAL

Keluaran getah asli meningkat kepada 34,616 tan metrik pada April

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Banci Getah Bulanan bagi April 2020 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 0.3 peratus pada April 2020 kepada 34,616 tan metrik berbanding 34,506 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Laporan itu dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan perbandingan tahun ke tahun juga menunjukkan peningkatan 2.0 peratus daripada bulan sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata eksport getah asli Malaysia turun 10.2 peratus kepada 40,596 tan metrik pada April 2020 daripada 45,198 tan metrik pada Mac.

China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 48.9 peratus daripada jumlah eksport pada Mac diikuti Jerman (12.1 peratus), Amerika Syarikat (6.2 peratus), Iran (5.3 peratus) dan Taiwan (3.5 peratus).

“Eksport tertinggi adalah bagi item sarung tangan getah dengan nilai RM1,984.4 juta pada April, peningkatan 11.6 peratus berbanding Mac,” katanya pada taklimat media mengenai perangkaan tenaga buruh dan getah bulanan, di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata Malaysia mengeksport sarung tangan tertinggi ke Amerika Syarikat sebanyak 97,905 tan metrik pada April berbanding 24,737 tan metrik pada Mac, peningkatan 295.8 peratus, diikuti China (28.8 peratus) dan Jerman (9.9 peratus), didorong oleh permintaan tinggi disebabkan penularan pandemik Covid-19.

“Harga purata bagi lateks pekat merekodkan penurunan kepada 413.26 sen sekilogranm (kg) pada April berbanding Mac (435.66 sen sekilogram). Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) juga turun kepada 472.64 sen sekilogram berbanding 517.45 sen sekilogram bagi tempoh yang sama,” katanya.

Mohd Uzair berkata stok getah asli terus mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus daripada 319,486 tan metrik pada Mac kepada 321,214 tan metrik pada April.

“Pembuatan sarung tangah getah kekal mendominiasi industri pembuatan getah asli dengan penggunaan sebanyak 35,080 tan metrik atau 89.5 peratus daripada jumlah penggunaan domestik (39,208 tan metri) pada April,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :