AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kemudahan berbasikal sokong lestari alam sekitar

SHAH ALAM, 4 JUN: Kemudahan laluan berbasikal disediakan di beberapa lokasi di Selangor bagi menyokong kelestarian akan sekitar dengan pengurangan kuantiti karbon mencemarkan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemudahan boleh digunakan penggemar sukan itu antaranya di Shah Alam, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dan Bukit Cherakah.

“Antaranya laluan trek basikal di Seksyen 4, Shah Alam sepanjang 2 kilometer (km) disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam. Anda boleh juga berbasikal di FRIM yang terbahagi kepada beberapa jarak laluan iaitu 10, 20 dan 30 km,” katanya menerusi Twitter sempena Hari Basikal Dunia.

Selain itu, Bukit Cherakah juga antara trek digemari memandangkan ia adalah sebuah taman agrikultur yang indah seluas 1,295 hektar.

Amirudin menasihatkan semua rakyat Selangor supaya berbasikal dengan selamat dalam musim wabak Covid-19 kerana masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD).

Sepanjang tempoh ini taman awam atau rakyat hanya dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 7 malam sahaja.

Pada 13 April 2018, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf 3 Jun adalah Hari Basikal Sedunia.


Pengarang :