EXCO Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan diharap fokus juga taska tidak berdaftar

SHAH ALAM, 6 JUN: Kerajaan Negeri menyokong usaha Kerajaan Pusat memberi geran kepada pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO pemberdayaan wanita dan keluarga.

Bagaimanapun, Dr Siti Mariah Mahmud berkata kerajaan juga perlu memberi fokus kepada Taska tidak berdaftar kerana mereka juga antara penyumbang kepada negara.

“Memang wajar kerajaan bantu taman asuhan tersebut beroperasi tetapi malangnya hanya yang berdaftar sahaja diberi perhatian sedangkan Taska tidak berdaftar juga berperanan.

“Malah, ketika situasi pandemik ini kita juga harus mendengar apa yang pengusaha Taska perlukan bukan beri apa yang kita fikir mereka perlu,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata susulan pembukaan Taska kelak Kerajaan Negeri setuju membantu menyediakan saringan Covid-19 kepada pengasuh bagi memastikan mereka bebas virus tersebut.

“Kesihatan mereka juga dipantau secara berkala termasuk penjarakan sosial kanak-kanak di Taska dan Kerajaan Negeri mencadangkan agar norma baharu diteruskan dalam sistem asuhan ini bagi meyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka malah dicadangkan agar kanak-kanak dimandikan sebelum ibu bapa membawa mereka pulang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian geran kepada pengendali taska yang mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).


Pengarang :