Dr Siti Mariah Mahmud meninjau sekitar Taman Cempaka, Serendah pada 9 Jun 2020 susulan peningkatan kes demam denggi di kawasan tersebut. Foto HAFIZ OTHMAN
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri bincang keperluan pinda undang-undang atasi denggi

RAWANG, 9 JUN: Kerajaan Negeri akan berbincang keperluan meminda undang-undang kecil di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan tindakan lebih tegas diambil bagi mengekang penularan kes denggi.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia berikutan beberapa isu yang timbul berhubung perkara berkaitan yang sukar ditangani selama ini.

“Undang-undang kecil kita kadang-kadang sangat susah dikuatkuasakan. Ini kerana kita kena cari pemilik untuk menyerahkan kompaun dan (notis) tidak boleh ditampal sesuka hati. Jadi tindakan undang-undang juga sukar,” katanya ketika sidang media.

Beliau berkata lambakan unit rumah terbiar terutama di kawasan pangsapuri menyukarkan badan pengurusan bangunan (JMB) melakukan kerja pembersihan selain sikap penduduk yang enggan memberikan kerjasama dan ia termasuk pembinaan struktur tambahan tanpa kebenaran di bawah rumah yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.

“Kalau tidak diselenggara dan tidak bebas denggi ia akan datang semula. Kebanyakannya dari kawasan yang keluar wabak sekejap sahaja dan kemudian masuk balik menjadi wabak,” katanya menambah Selangor mencatatkan penurunan semasa Perintah Kawalan Pergerakan berbanding tahun lalu kerana orang ramai kekal duduk di rumah.

Dr Siti Mariah sebelum itu melawat Taman Cempaka, Serendah yang merekodkan 56 kes denggi dan satu kematian dalam tempoh tiga bulan dan disusuli lawatan ke Pangsapuri Teratai di Bukit Beruntung.


Pengarang :