EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Tuan Ir Izham Hashim mendengar taklimat serta melawat tapak banjir di parkir bersebelahan Giant Seksyen 13, Shah Alam pada 10 JUN 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerja bersih longkang dilaksana segera, elak banjir kilat

SHAH ALAM, 11 JUN: Kerja pembersihan longkang, jalan dan saliran di kawasan tempat letak kereta awam berhampiran Stadium Shah Alam, Seksyen 13 dilakukan segera bagi mengelak banjir kilat, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti longkang dan saliran tersumbat yang tidak dapat diselenggara mengikut jadual susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum ini kerja tergendala berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi memandangkan sekarang sudah masuk fasa pemulihan pihak terlibat mulakan kerja baik pulih ini  segera,” katanya selepas lawatan ke kawasan tersebut semalam.

Sementara itu, Ir Izham berkata untuk penyelesaian jangka panjang Kerajaan Negeri bercadang membina kolam takungan air di kawasan tersebut bagi menahan kekerapan hujan.

“Kita melawat kawasan dulu, Insya Allah dalam masa terdekat adakan mesyuarat dan bincang peruntukan serta bila binaan kolam takungan ini boleh dimulakan,” katanya.

Baru-baru ini kawasan tersebut berhadapan banjir kilat apabila longkang tidak dapat menampung kadar hujan yang tinggi.


Pengarang :