Petugas kesihatan memegang kit ujian sebelum membuat proses calitan bagi mengumpul sampel Covid-19 di Gombak pada 22 April 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Kes baharu Covid-19 di Selangor kekal satu angka

SHAH ALAM, 5 JUN: Kes baharu Covid-19 di negeri ini kekal satu digit iaitu sembilan dengan jumlah keseluruhan 1,939 kes setakat 12 tengah hari tadi.

Menurut data Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), empat kes membabitkan rakyat tempatan manakala lima kes import mendapat jangkitan dari luar negara.

“Jadilah warga Selangor yang berdisiplin. Sayangi kebebasan anda dengan berdisiplin dan bertanggungjawab,” tulis pasukan petugas itu di Twitter malam ini.

Pada masa sama, STFC turut memaklumkan zon hijau bertambah kepada 34 selepas mukim Kuala Selangor dan Dengkil mencatatkan sifar kes hari ini.

Hulu Langat dan Sepang masih berada dalam zon merah, masing-masing dengan 109 dan 66 kes aktif.

Petang tadi, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 19 kes baharu dengan tujuh kes import, sembilan warga tempatan dan tiga warga asing.

Satu lagi kematian turut direkodkan menjadikan mangsa yang meninggal dunia setakat ini 116 orang.


Pengarang :