Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap semasa sidang media berkaitan jangkian Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 7 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM: 303 kes Covid-19 sepanjang PKPP

SHAH ALAM, 30 JUN: Sebanyak 303 kes Covid-19 dilaporkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu hingga hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu taburan kes harian dalam lingkungan satu dan dua digit.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menyeru orang ramai tidak alpa dengan trend penurunan ini sebaliknya lebih berwaspada serta mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) dan mengamalkan langkah pencegahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penularan pandemik dalam komuniti juga terkawal walaupun pelbagai sektor ekonomi sudah dibenarkan beroperasi.

“Ini membuktikan pemulihan negara mengimbangi nyawa dan mata pencarian rakyat sudah bermula. Memandangkan banyak sub-sektor dibuka esok, kerjasama ramai diperlukan untuk memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Hari ini, hanya dua kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,639 kes manakala 20 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital.


Pengarang :