Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 14 Jun 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Guna ‘dexamethasone’ dengan nasihat doktor, elak kesan sampingan

SHAH ALAM, 17 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai tidak mengambil ubat jenis `dexamethasone’ tanpa nasihat doktor, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ubat tersebut digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti barah serta mempunyai banyak kesan sampingan.

“KKM gunakan ubat jenis ‘dexamethasone’ untuk merawat pesakit Covid-19 kategori empat dan lima iaitu mereka yang ada gejala pernafasan yang serius serta memerlukan bantuan pernafasan.

“Hasil penggunaan ubat tersebut mendapati satu daripada tiga pesakit memberi tindak balas positif untuk melawan penyakit tersebut,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata ujian klinikal mendapati ubat tersebut tidak membantu rawatan pesakit yang mempunyai gejala ringan atau pesakit yang tidak memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebenarnya ubat ini telah lama digunakan untuk merawat pelbagai penyakit atau untuk mengurangkan keradangan, cuma apabila muncul Covid-19 kita melakukan pelbagai ujian bagi menguji keberkesanan pelbagai jenis ubat,” katanya.

Hari ini ahli sains Britain mendakwa berjaya temui ubat yang dipercayai mampu meningkatkan peluang pesakit Covid-19 untuk sembuh.

Dexamethasone, steroid murah dan mudah diperoleh, dipercayai mampu mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pesakit. Susulan itu Kerajaan Britain membenarkan penggunaan ubat berkenaan di seluruh negara.


Pengarang :