AGENDANASIONAL

KKM hargai peranan media sebar maklumat tepat Covid-19

SHAH ALAM, 11 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berterima kasih kepada petugas media yang berperanan sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan situasi Covid-19 kepada masyarakat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah berkata ketika petugas kesihatan bertungkus-lumus memerangi wabak, media komited memberi maklumat sahih serta memerangi berita palsu.

“(Penghargaan) termasuk kepada wartawan, jurugambar, jurukamera di lapangan dan pelbagai petugas di studio malah jurubahasa isyarat turut memainkan peranan sangat penting.

“Pelbagai platform digunakan bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat dan berita yang tepat, cepat dan sahih mengenai wabak Covid-19,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

KKM turut memuji warga maya yang menjalankan tanggungjawab sosial dengan memuat naik dan menyebar luas maklumat yang tepat mengenai Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan.

Setakat ini, sebanyak 266 kertas siasatan berhubung berita palsu Covid-19 dibuka oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Daripada jumlah itu, 30 kes didakwa di mahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 18 mengaku bersalah.

Pada masa sama, sebanyak 330 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu dikeluarkan Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia.


Pengarang :