AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM jangka gelombang kedua demam denggi hingga September

SHAH ALAM, 8 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia menjangkakan gelombang kedua kes demam denggi dari Jun hingga September ini berdasarkan trend selama lima tahun.

Ketua pengarah kesihatan berkata walaupun kes menurun awal tahun ini, namun trend kembali meningkat sejak enam minggu lalu dengan purata lapan peratus setiap minggu.

“Sepanjang tempoh sama bagi tahun ini juga, sebanyak 84 kes kematian dilaporkan berbanding 83 kes pada tahun lalu dengan 11 peratus daripadanya lewat mendapatkan rawatan iaitu tiga hari selepas bermulanya gejala,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini, katanya, sebanyak 48,584 kes demam denggi dilaporkan dari Januari hingga 6 Jun lalu berbanding 54,524 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, beliau berkata memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bermula Rabu ini, maka lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan bakal dibuka.

“Kemungkinan kebanyakan tempat itu sudah lama ditutup dan tiada pergerakan orang ramai sekali gus menjadikannya berisiko sebagai tempat pembiakan nyamuk.

“Orang ramai diminta meningkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing terutama tempat takungan air dan yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk,” katanya lagi.


Pengarang :