Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM kesan antibodi bekas pesakit Covid-19 menurun

PUTRAJAYA, 24 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi komplikasi terhadap bekas pesakit Covid-19, iaitu ketahanan tubuh tidak kekal.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya mendapati antibodi IgM (immunoglobulin M) and IgG (immunoglobulin G), akan berkurangan selepas tiga bulan.

“Jadi mungkin ada kesan kepada imuniti individu tersebut. Jadi kalau individu tersebut mempunyai imuniti yang rendah, maka mudah mendapat jangkitan kuman lain bukan hanya Covid-19,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu laporan antarabangsa yang menyatakan kehidupan pesakit Covid-19 yang pulih tidak akan kembali normal, kerana ada dalam kalangan mereka memerlukan pemindahan paru-paru dan risiko serangan jantung.

Dr Noor Hisham berkata, KKM harus memastikan rawatan susulan untuk memantau kesihatan pesakit Covid-19 yang telah pulih terutama dalam kategori 4 dan 5.

Pesakit kategori 4 ialah mereka yang memerlukan oksigen, manakala kategori 5 adalah bagi pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

KKM kini sedang melaksanakan pemantauan terhadap pesakit yang pulih, bagi melihat kesan sampingan jangka panjang.

Selain itu Dr Noor Hisham berkata, virus Covid-19 menyerang paru-paru dan kesan ‘cytokine storm’ di mana virus menyebabkan kesan kepada saluran darah.

“Adakalanya perjalanan darah perlahanan dan fenomena pembekuan darah berlaku. Ada dua tiga pesakit yang telah kita kesan berlaku di usus dan buah pinggang,” jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata, tindakan semasa rawatan untuk radang paru-paru adalah dengan ‘Dexamethasone’, manakala ubat ‘low-molecular-weight heparin’ digunakan untuk mengelak pembekuan darah.

Katanya, pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan iaitu apabila berlaku radang dalam paru-paru dan kemungkinan akan menyebabkan kerosakan paru-paru.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga menjalankan ujian di Institut Perubatan Respiratori untuk melihat kepada kajian jangka panjang yang dihadapi pesakit yang pernah diberi bantuan pernafasan.

-BERNAMA


Pengarang :