Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada 24 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM kesan tiga kluster baharu Covid-19

SHAH ALAM, 24 JUN: Tiga kluster baharu dikesan di Kondominium Hulu Langat, Bukit Bintang dan tapak pembinaan di Kuching, Sarawak, maklum ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes di Hulu Langat merupakan pelajar pusat tahfiz yang dikesan positif Covid-19 pada 8 Jun lalu dan menjangkiti dua individu lain.

“Kes pertama bukan warganegara (kes ke-5818) merupakan bapa saudara angkat kepada pelajar tersebut yang tinggal di kediaman lain tetapi terdapat aktiviti kunjung-mengunjung manakala satu kes lagi adalah rakan kerja kepada kes ke-5818,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kluster di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pula mencatatkan 10 kes membabitkan sembilan warganegara Bangladesh dan satu rakyat tempatan.

Katanya, kes indeks bagi kluster tersebut merupakan seorang lelaki bukan warganegara yang menjalani saringan masuk kerja dan didapati positif pada 15 Jun lalu.

“Seramai 274 orang disaring dengan 203 bukan warganegara manakala selebihnya warganegara. Tujuh daripada 10 kes positif adalah rakan serumah kepada kes indeks,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata kluster tapak pembinaan pula dikesan apabila individu ketiga yang dijangkiti virus membuat saringan di klinik swasta dan disahkan positif 16 Jun lalu.

“Setakat ini seramai 426 kontak dikenal pasti dan 62 individu didapati negatif Covid-19 manakala 34 lagi menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” jelasnya.


Pengarang :