Suasana ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara pandu lalu inisiatif Kerajaan Negeri bersama Klinik Selcare dan dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah di Seksyen 7, Shah Alam pada 18 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM mahu perluas klinik secara maya, elak ruang menunggu sesak

SHAH ALAM, 8 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhasrat memperluas pelaksanaan klinik secara maya di seluruh negara bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu mampu mengelakkan kesesakan di klinik dan hospital selain membolehkan pesakit mengamalkan penjarakan sosial.

“Kita akan mulakan dengan klinik yang besar dan sesak terlebih dahulu contohnya kategori KK2 serta KK3, jadi pesakit tidak perlu hadir ke klinik atau hospital untuk mendapatkan ubat.

“Kita juga akan lihat untuk laksanakan di rumah seperti rawatan sakit angin ahmar yang sebelum ini dilaksanakan buat ibu dan bayi selepas bersalin,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya juga sedang mempertimbang cadangan untuk mengadakan dua syif iaitu pagi dan petang di klinik kesihatan.

“Kes (Covid-19) semakin berkurangan tetapi buat masa ini kita melihat bagaimana hospital atau klinik kesihatan dapat penjarakan masa dalam memberi perkhidmatan kesihatan.

“Jadi, setiap langkah untuk mengamalkan penjarakan sosial ialah menggunakan kaedah temu janji dan pesakit hanya perlu datang mengikut masa ditetapkan,” katanya.


Pengarang :