Petugas Kementerian Kesihatan kelihatan membuat bancian serta mengarahkan setiap penghuni rumah perlu membuat saringan Covid-19 setelah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM terus pantau Covid-19 walaupun PKPP tamat

PUTRAJAYA, 19 JUN: Aktiviti survelan atau pemantauan Covid-19 di Malaysia akan diteruskan walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditamatkan nanti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata biarpun jumlah kes harian Covid-19 terkawal dan negara sudah memasuki fasa pemulihan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus melaksanakannya bagi memantau penularan Covid-19 dalam komuniti.

“Aktiviti-aktiviti survelan yang dijalankan termasuk survelan klinikal dan juga saringan kumpulan-kumpulan sasar. Aktiviti ini membolehkan pengesanan awal kes Covid-19 di Malaysia dan tindakan pembendungan penularan dapat segera diambil.

“Untuk itu, semua kes positif Covid-19 di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta juga haruslah dinotifikasikan kepada KKM.

“Ini kerana Covid-19 telahpun didaftar sebagai penyakit yang perlu dinotifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Katanya survelan yang dijalankan sebelum ini termasuk survelan klinikal dan juga saringan kumpulan-kumpulan sasar adalah termasuk kes-kes Influenza Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI).

Survelan klinikal dilaksanakan melalui pengambilan sampel untuk saringan Covid-19 secara rawak dari fasiliti kesihatan KKM, katanya.

Beliau juga memaklumkan lokasi sentinel iaitu Klinik Kesihatan KKM telah ditambah kepada 26 buah di seluruh negara.

Ia adalah salah satu tindakan bagi mempergiat sistem amaran awal penularan Covid-19 di Malaysia, katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menggesa semua peniaga di pasar untuk mengambil langkah-langkah pencegahan serta menjaga kebersihan diri dan gerai masing-masing.

Ini berikutan terdapat laporan yang mendakwa Covid-19 telah menjangkiti lebih 100 orang yang berpunca daripada daging dan makanan laut yang dijual di pasar makanan borong di Beijing, China.

Mengulas laporan tersebut, Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa kesimpulan daripada siasatan awal pihak berkuasa China adalah berkaitan kebersihan, dan negara itu turut mengambil tindakan susulan untuk memeriksa sama ada jangkitan tersebut berasal daripada haiwan dan sebagainya.

“Jadi setakat ini, tiada bukti yang mengatakan jangkitan itu datang daripada ikan ataupun haiwan, tetapi kepada kesimpulan yang mereka (China) laksanakan pada peringkat awal, mungkin ada kaitan dengan kebersihan.

“Apa yang penting kita mengambil langkah-langkah pencegahan dan juga menjaga kebersihan semasa berniaga di pasar dan sebagainya. Bagaimanapun, kajian tetap akan dijalankan untuk haiwan dan ikan,” katanya

– BERNAMA


Pengarang :