Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM: Tidak benar pelajar hidap Covid-19 hadir solat Jumaat

SHAH ALAM, 14 JUN: Dakwaan seorang pelajar tahfiz positif Covid-19 pulang ke kampung di Kedah dan menunaikan solat di masjid tidak benar, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata tiada laporan mengenainya diterima berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau dan mengesan kontak membabitkan 120 pusat tahfiz seluruh negara.

“Laporan di Facebook itu tidak benar dan tiada laporan setakat ini namun saringan Covid-19 terhadap pelajar-pelajar tahfiz masih diteruskan.

“Sekolah tahfiz adalah kumpulan sasaran KKM untuk menjalankan saringan memandangkan ia dikunjungi jemaah tabligh lebih daripada lima kali, kita bukan hendak stigmakan mereka tetapi hendak pastikan mereka tiada virus Covid-19 sahaja,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa seorang pelajar tahfiz dari Negeri Sembilan yang positif Covid-19 menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Huma, Alor Setar dan masjid itu diarahkan ditutup selama seminggu.

Berita palsu itu turut mendatangkan kegelisahan di kalangan orang awam.


Pengarang :