Aksi Muhammad Irfan Shamshuddin ketika acara Lempar Cakera Lelaki pada Sukan SEA 2019 di Stadium Olahraga New Clark City, hari ini. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

KOM sedia lunas bayaran insentif rekod baharu kebangsaan

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi jaminan untuk menjelaskan bayaran insentif rekod baharu kepada beberapa atlet kebangsaan yang masih belum diselesaikan oleh kepimpinan terdahulu badan sukan itu.

Presiden KOM, Datuk S.M Muthu berkata, badan induk sukan itu sedang mengumpul segala dokumen berhubung catatan rekod baharu kebangsaan yang dilakar oleh atlet kebangsaan sebelum bayaran dapat dijelaskan dalam tempoh terdekat.

“Kami akan bayar dan atlet yang terlibat jangan risau, cuma saya minta mereka kemukakan dokumen secara hitam putih.Mungkin dalam tempoh dua bulan kami akan selesaikan bayaran kepada atlet terlibat,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, beberapa atlet olahraga kebangsaan termasuk pemegang rekod kebangsaan acara lompat jauh, Andre Anura Anuar dan jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin mendakwa KOM masih belum melunaskan bayaran insentif hasil kejayaan mereka memecahkan rekod kebangsaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Bernama difahamkan KOM memberi bayaran insentif sebanyak RM1,000 bagi rekod baharu kebangsaan yang berjaya dicipta atlet negara dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Muthu mengesahkan beberapa atlet elit kebangsaan akan dibenarkan menjalani latihan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, esok sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau menjelaskan latihan penuh akan dibuka kepada semua atlet kebangsaan pada 5 Julai ini sebagai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) MSN dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Beberapa atlet olahraga kebangsaan sebelum ini melahirkan kebimbangan berhubung persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa tahun depan selepas KOM dikatakan gagal mendapat kata putus daripada MSN berhubung tarikh sebenar mereka dibenarkan memulakan latihan.

-BERNAMA


Pengarang :