AGENDAEKONOMI

Kontrak niaga minyak sawit mentah diniaga berhati-hati

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan berikutan pedagang dijangka kekal tidak memasuki pasaran susulan bimbang mengenai paras stok, kata peniaga.

Peniaga Minyak Sawit Kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata pedagang akan memantau pengumuman mengenai paras stok minyak sawit bagi Mei, yang dijadual akan diumumkan pada 10 Jun.

“(Paras) simpanan stok dijangka tinggi pada Mei, manakala permintaan dijangka rendah berikutan selepas cuti Hari Raya. Permintaan dari Pakistan dan India turut dijangka berkurangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga komoditi itu akan berada antara RM2,200-RM2,300 satu tan minggu depan.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata Malaysia boleh menjangka eksport MSM yang tinggi pada masa akan datang ke negara-negara seperti India dan Pakistan selepas mendapat galakan pada Jumaat.

“Harga eksport MSM Malaysia akan mempunyai kelebihan daya saing berbanding Indonesia. Bagaimanapun, ringgit yang mengukuh boleh mengurangkan kelebihan daya saing tersebut,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses mulai 1 Julai 2020 hingga 31 Dis 2020, untuk mendorong sektor komoditi.

“Bagi industri pertanian dan makanan, kemudahan pinjaman Dana Agrofood sebanyak RM350 juta akan diperuntukkan untuk memastikan kelangsungan pengusaha pertanian dan komoditi dalam sektor ini,” katanya ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kelmarian.

Pasaran akan ditutup pada Isnin bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya tinggi berikutan permintaan yang kukuh disebabkan harga minyak mentah yang lebih baik dan jangkaan eksport yang tinggi selepas pengecualian cukai yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi Jun 2020 naik RM32 kepada RM2,405 satu tan, Julai 2020 meningkat RM53 kepada RM2,374 satu tan, Ogos 2020 menambah RM56 kepada RM2,348 satu tan, dan September 2020 naik RM52 kepada RM2,341 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 312,697 lot daripada 154,634 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 266,507 kontrak daripada 250,651 kontrak.

Di pasaran fizikal, harga MSM bagi Jun Selatan naik RM76 kepada RM2,378 satu tan.

-BERNAMA


Pengarang :