AGENSISELANGOR

Kos hantar ubat melalui pos ditanggung kerajaan tamat 30 Jun – JKNS

SHAH ALAM, 11 JUN: Kos penghantaran ubat melalui pos (UMP) yang ditanggung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada 30 Jun ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam kenyataan memaklumkan pesakit akan menanggung semula caj perkhidmatan itu yang perlu dibayar secara tunai kepada Pos Malaysia semasa menerima bekalan ubat.

“Pesakit adalah digalakkan terus menggunakan perkhidmatan UMP ini bagi membolehkan ubat dihantar terus ke rumah tanpa perlu datang ke hospital atau klinik kesihatan untuk mengambil bekalan ubat susulan,” kata agensi itu.

Bermula 5 April lalu, JKNS menyediakan perkhidmatan penghantaran UMP bagi mengurangkan kesesakan di seluruh fasiliti kesihatan negeri itu.

Langkah itu bagi mengelakkan pesakit yang menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan ubat terjejas selain mengekalkan jarak sosial sepanjang tempoh PKP.

Sehubungan itu, pesakit diminta menghubungi unit farmasi di fasiliti KKM yang didaftarkan semasa menerima rawatan untuk maklumat lanjut.


Pengarang :