Seorang wanita memakai pelitup muka ketika berjalan di hadapan pusat membeli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur selepas kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi pada 6 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KP Kesihatan: Fasa pemulihan pasca PKP Bersyarat mungkin dilaksana

SHAH ALAM, 5 JUN: Malaysia mungkin beralih ke fasa pemulihan bagi membolehkan sektor ekonomi, sosial dan pendidikan dibuka dengan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ketua pengarah kesihatan berkata langkah tersebut akan dilaksana di negara ini bagi menguji keberkesanannya sebelum diperluas ke peringkat antarabangsa.

“Apa yang penting Akta 342 dikuat kuasa dalam negara sebelum dipertimbang ke peringkat luar,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata jika terdapat peningkatan kes Covid-19, lokaliti atau kumpulan dijangkiti ketika fasa pemulihan, Perintah Kawalan Pergerakan secara pentadbiran dan saringan akan dibuat.

“Kes positif akan diasingkan…negatif dikuarantin. Ini tindakan bawah 342 (Akta 342) dan kita akan kerjasama dengan polis untuk penguatkuasaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat cadangan untuk melonggarkan kawalan sempadan terhadap negara yang berada paras tinggi dalam Indeks Pemulihan Covid-19 Global.

Katanya, kelonggaran mungkin akan diberikan kepada negara yang dikelaskan sebagai zon hijau.

“Ini satu cadangan. Kita juga melihat jika saringan boleh dijalankan di negara masing-masing sebelum ke Malaysia untuk pastikan tiada jangkitan berlaku,” katanya.


Pengarang :