Suasana di dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KP Kesihatan: Tarikh sesuai buka sekolah dibincang esok

SHAH ALAM, 8 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Pendidikan esok bagi membincangkan tarikh pembukaan semula sekolah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ibu bapa akan diberi tempoh dua minggu untuk membuat persiapan jika perkara tersebut dimuktamadkan.

“Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan tamat esok dan digantikan dengan PKP Pemulihan (PKPP), jadi dalam proses ini kita akan buka pelbagai sektor.

“Kita akan bincang secara mendalam (esok) bila tarikh sesuai sekolah dibuka. Kalau tarikh ditetapkan, ibu bapa akan dimaklumkan dua minggu awal tetapi keutamaan diberi kepada pelajar tingkatan lima dan enam dahulu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Semua sekolah dan institusi pengajian tinggi seluruh negara ditutup sejak Mac lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan Covid-19.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos dengan lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat.


Pengarang :