AGENDASUKANKINI

KP MSN: Atlet, pegawai di Akademi Badminton Malaysia negatif Covid-19

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Kesemua individu yang terlibat dengan kem latihan pusat di bawah program ‘Road to Tokyo’ (RTT) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), disahkan negatif COVID-19.

Keputusan ujian swab itu disahkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menerusi kenyataan hari ini.

Seramai 38 orang melibatkan atlet, jurulatih, atlet ‘sparring’, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan menyertai kem latihan di ABM, Bukit Kiara sejak semalam.

Sementara itu, keputusan ujian melibatkan 24 orang juga terdiri daripada atlet, jurulatih, atlet ‘sparring’, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan untuk kem latihan di Pusat Latihan Perahu Layar Langkawi, dijangka akan diketahui esok.

Kesemua peserta kem latihan pusat di ABM dan Langkawi menjalani ujian saringan ketika pendaftaran di kem iaitu atlet elit bakal menjalani latihan khas dengan pengasingan selama sebulan untuk persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Seramai 146 individu, termasuk 14 atlet dan 26 atlet para, dijangka memulakan latihan di MSN Bukit Jalil Isnin depan.

-BERNAMA


Pengarang :