Pemeriksaan barangan keperluan asas oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP cawangan Gombak di beberapa premis perniagaan sekitar Selayang Baru. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENSISELANGOR

KPDNHEP periksa 1,972 premis, dua peniaga dikompaun

SHAH ALAM, 4 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memeriksa 1,972 premis di seluruh negeri ini sepanjang pemantauan harga sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri bermula 20 Mei hingga semalam.

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata daripada jumlah itu dua kes diambil tindakan atas kesalahan tiada tanda harga, lapor Harian Metro.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, dua peniaga dikenakan tindakan kompaun RM3,000 setiap seorang atas kesalahan berkaitan mengikut Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga 1993,” katanya.

Beliau berkata, dianggarkan 90 peratus peniaga di negeri ini mematuhi arahan walaupun ada segelintir mengenakan harga ‘cekik darah’.

Muhamad Zikril berkata, pihaknya menerima sebanyak 266 aduan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.


Pengarang :