Datuk Alexander  Nanta Linggi (kiri) meninjau Pasar Basah Serian sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai 2020 pada 27 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDNHEP: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan rekod 147 kes

PUTRAJAYA, 4 JUN: Sebanyak 147 kes direkodkan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2020 bagi tiga perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai antara 20 Mei hingga 3 Jun lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata ia melibatkan 32 kes menjual melebihi harga maksimum dan 115 kes lagi tiada tanda harga dengan nilai keseluruhan sitaan RM18,718 dan kompaun RM308,500.

Daripada 32 kes menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, katanya 29 kes melibatkan peruncit dan tiga kes melibatkan pemborong dengan nilai rampasan sebanyak RM2,978 dan jumlah kompaun sebanyak RM177,500.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 26 aduan sepanjang tempoh tiga skim berkenaan melibatkan empat aduan tidak meletakkan tanda harga, enam aduan tiada tanda harga merah jambu dan 16 aduan melebihi harga maksimum.

“Kesemua aduan yang diterima telah disiasat dan diambil tindakan oleh kementerian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai pelaksanaan SHMMP.

SHMMP Hari Raya Puasa dilaksanakan mulai 20 Mei hingga 3 Jun iaitu 15 hari, manakala perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai selama tujuh hari bermula 28 Mei hingga 3 Jun.

Nanta berkata sebanyak 33,238 premis perniagaan iaitu 751 di peringkat borong dan 33,487 di peringkat runcit di seluruh negara diperiksa sepanjang pelaksanaan SHMMP tiga perayaan itu.

Nanta berkata secara keseluruhannya, skim berkenaan berjaya dilaksanakan dengan baik.

“Skim ini perlu diteruskan pada perayaan-perayaan yang akan datang supaya pengguna mendapat manfaat membeli barangan pada harga yang berpatutan semasa sambutan perayaan utama negara,” katanya.

Sepanjang tempoh pelaksanaan skim, beliau berkata kementerian mendapati secara umumnya pematuhan dan kerjasama oleh pengeluar, pemborong dan peruncit adalah baik dan memuaskan.

“Komitmen dan tanggungjawab yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak peniaga dan pengguna merupakan faktor kejayaan skim ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :