AGENSIPENDIDIKANSELANGOR

KUIS tawar pengajian ijazah lepasan matrikulasi

SHAH ALAM, 6 JUN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) membuka permohonan pelajar lepasan matrikulasi bagi menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sesi 2020 dan 2021, kata rektornya.

Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata permohonan dalam talian itu dibuka dari 1 Julai hingga 3 Julai.

“Kuis adalah institusi pendidikan berteraskan kepada aqli dan naqli bagi melahirkan generasi profesional yang mempunyai kompetensi dalam aspek ilmu, kemahiran dan akhlak.

“Kami juga komited melahirkan tenaga profesional Islam yang mampu memimpin masyarakat serta membangun dan mengembangkan ilmu pengetahuan Islam,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Ab Halim berkata selain menawarkan pengajian Islam, Kuis turut menyediakan Pengajian Perniagaan, Perbankan Islam, Bahasa dan Komunikasi, multimedia, dan pendidikan.

“Kami menyediakan persekitaran kampus indah, kemudahan penginapan selesa serta kemudahan pembelajaran dan pengajaran terkini.

“Pada masa sama bertekad menjadi gedung ilmu bertaraf antarabangsa dan pelopor dalam kalangan institusi pendidikan tinggi berteraskan Islam,” katanya.


Pengarang :