BERITA UTAMAPENDIDIKANSELANGOR

Kurangkan yuran daftar, Kuis bantu pelajar terjejas

SHAH ALAM, 9 JUN: Susulan keadaan ekonomi terjejas akibat Covid-19, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menetapkan yuran pendaftaran pelajar baharu sebanyak RM650, kata timbalan rektor pengurusan korporat (pembangunan dan pengantarabangsaan).

Dr Zulkifli Abd Hamid berkata pengurangan RM350 daripada jumlah asal itu terbuka kepada pelajar tempatan yang berdaftar dengan universiti tersebut bagi sesi Julai 2020/2021.

“Atas dasar keprihatinan dan mengambil kira situasi ekonomi masa kini kita setuju untuk mengurangkan yuran pendaftaran memandangkan ramai dalam kalangan masyarakat terjejas berikutan Covid-19 dan mereka yang berminat untuk menjadi warga Kuis boleh mula mendaftar sehingga tarikh tutup pada 24 Julai ini,” katanya kepada SelangorKini.


Mengulas mengenai sasaran Kuis bagi sesi kali ini, Dr Zulkifli berkata pihaknya menyasarkan 2,505 orang yang akan mendaftar sebagai pelajar institusi pendidikan berteraskan kepada aqli dan naqli ini.

“Bagaimanapun, mengambil kira pandemik yang belum berakhir kita setuju untuk tidak melaksanakan sesi orientasi kepada pelajar baharu ini tetapi akan diadakan sesi taklimat secara bergilir-gilir mengikut pengajian,” kata beliau.

Untuk maklumat pendaftaran dan permohonan, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kuis di www.kuis.edu.my atau hubungi 019-226 0746 atau 013-389 6937 atau 03-8911 7000.

 


Pengarang :