AGENDANASIONAL

KWSP galak lebih ramai pekerja sendiri carum i-Saraan

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap geran padanan menggalakkan pekerja dalam sektor ekonomi gig membuat simpanan menerusi program i-Saraan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tunku Alizakri Alias berkata usaha kerajaan tepat pada waktunya bagi menyesuaikan perkembangan semasa dalam sektor pekerjaan memandangkan tahun ini mencabar dan tidak menentu, ditambah dengan situasi pandemik sekali gus mengubah landskap pekerjaan.

“Kita maklum bahawa ramai yang memilih untuk bekerja dengan platform penghantaran makanan dan bungkusan pada masa kini. Pekerja platform gig di Malaysia, terutama pemandu dan pengendali penghantaran, telah menjadi nadi ekonomi negara ketika dalam bulan-bulan yang mencabar ini.

“Bagaimanapun, oleh kerana mereka secara teknikalnya bekerja sendiri, tiada mekanisme formal untuk mereka menyimpan bagi masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Program i-Saraan adalah program sukarela KWSP dengan insentif untuk golongan yang bekerja sendiri. Ciri utama kemudahan ini ialah pemberian insentif khas kerajaan sebanyak 15 peratus (tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setiap tahun) kepada ahli di bawah 55 tahun yang telah mendaftar dan mencarum untuk program ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan peruntukan berjumlah RM50 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara yang bertujuan menyokong rangka perlindungan sosial untuk sektor ekonomi gig dan pekerja platform gig menyimpan untuk masa hadapan.

-BERNAMA


Pengarang :