Yang Dipertua MPKj Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid membuat lawatan tapak di Taman Rekreasi Sungai Chua, Kajang pada 25 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Langgar SOP, Bukit Broga ditutup dua minggu

KAJANG, 25 JUN: Bukit Broga, Semenyih ditutup dua minggu kepada orang ramai berkuat kuasa Sabtu ini ekoran pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP), kata yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid berkata penutupan sementara lokasi pendakian terkenal itu diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor semalam.

“Kita sudah buka semula (Bukit Broga) untuk aktiviti pendakian tetapi orang ramai tidak memahami SOP, maka tindakan (penutupan) sewajarnya dibuat kerana mereka (pendaki) tidak prihatin keadaan semasa Covid-19 terutama ketika kerajaan sedang berusaha mengekangnya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Taman Rekreasi Sungai Chua di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan mengehadkan bilangan pengunjung daripada memasuki kawasan rekreasi itu bagi mengelak insiden sama berulang termasuk bekerjasama dengan polis serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat untuk memantau pematuhan SOP.

“Bagaimanapun, orang ramai terus diingatkan supaya tidak sesekali melanggar peraturan selain sentiasa mengawal penjarakan sosial ketika mendaki,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, tular di media sosial menunjukkan Bukit Broga sesak dikunjungi orang ramai selepas kerajaan membenarkan semula aktiviti sukan dan rekreasi termasuk mendaki bermula 15 Jun tertakluk pematuhan SOP.


Pengarang :