AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Lebih banyak masjid dibuka, jemaah hingga 250 orang

SHAH ALAM, 18 JUN: Lebih banyak masjid meliputi mukim zon hijau di seluruh negeri dibuka mulai esok untuk mendirikan solat Jumaat dan fardu berjemaah.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah bilangan jemaah di Masjid Negeri juga ditambah daripada 40 kepada 250 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK).

“Jumlah jemaah di 38 masjid yang dibenarkan sebelum ini turut ditambah daripada 40 kepada 150 orang tidak termasuk pegawai dan AJK.

“Bagi masjid di seluruh negeri yang berada dalam mukim zon hijau, bilangan jemaah dihadkan 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Pelaksanaan solat jemaah bagi Subuh, Maghrib dan Isyak seperti berikut:

a) Jumlah kehadiran jemaah bagi tiga waktu solat fardu berjemaah di Masjid Negeri dihadkan seramai 250 orang tidak termasuk pegawai dan AJK

b) Jumlah kehadiran jemaah bagi tiga waktu solat fardu berjemaah di 38 masjid yang dibenarkan sebelum ini dihadkan 150 orang tidak termasuk pegawai dan AJK

c) Jumlah kehadiran jemaah bagi tiga waktu solat fardu berjemaah di masjid di seluruh negeri di dalam mukim zon hijau dihadkan 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK

d) Semua surau di seluruh negeri termasuk Surau Kebenaran Solat Jumaat masih tidak boleh dibuka melainkan tiga pegawai yang dibenarkan untuk melaksanakan solat fardu seperti yang ditetapkan

Sultan Selangor turut menitahkan jemaah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Jabatan Agama Islam Selangor khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Mereka yang tidak sihat dilarang sama sekali melaksanakan solat di masjid. Pihak masjid dan jemaah juga hendaklah mematuhi garis panduan lain yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” titah baginda.

 


Pengarang :