Dr Siti Mariah Mahmud meninjau sekitar Taman Cempaka, Serendah pada 9 Jun 2020 susulan peningkatan kes demam denggi di kawasan tersebut. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENSISELANGOR

Lebih separuh lokasi panas wabak denggi babit Selangor

SHAH ALAM, 10 JUN: Sebanyak 61 daripada 99 lokasi panas wabak denggi di seluruh negara dikesan di negeri ini dengan kes tertinggi di Hulu Selangor.

Menurut Public Health Malaysia, Apartmen Teratai di Hulu Selangor merekodkan 131 kes diikuti Bandar Bukit Mahkota, Hulu Langat dengan 56 kes, Cyberia Smart Home Sepang (54) dan Mentari Court Petaling (39).

Lokasi baharu wabak turut dikesan di Taman Impian Ehsan di Hulu Langat dengan sembilan kes, Taman Perindustrian Seri Kembangan (7) dan Apartmen Mawar Hulu Selangor (10).

“Tatkala kita melihat kes Covid-19 turun kepada satu digit kes semalam, namun kes denggi menunjukkan peningkatan mendadak.

“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa memantau keadaan sekeliling rumah dan tempat kerja, musnahkan kawasan pembiakan denggi serta laporkan kepada pihak berkuasa dan ketua komuniti untuk pencegahan,” saran portal kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kelmarin, KKM menjangkakan gelombang kedua kes demam denggi mulai Jun hingga September ini susulan trend peningkatan berterusan dengan purata lapan peratus setiap minggu.

Sebanyak 48,584 kes demam denggi dan 84 kematian dilaporkan sejak Januari hingga 6 Jun lalu.


Pengarang :