Rodziah Ismail diwawancara pada Majlis Anugerah Kampungku Raya yang disiarkan secara langsung di Facebook Kitakan Sekampung pada 5 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lima wanita kemudi kampung, Selangor tepis isu gender

SHAH ALAM, 28 JUN: Pelantikan lebih ramai ketua kampung wanita dilaksanakan di negeri ini bagi menyokong inisiatif keseimbangan gender.

EXCO pembangunan luar bandar berkata lima daripada 371 kampung tradisi diketuai golongan itu sejak dua tahun lalu dan pentadbiran berjalan lancar.

“Pendekatan ini diterima ramai kerana kita lebih mengutamakan kecekapan berbanding gender selari dasar CAT iaitu cekap, akauntabiliti dan telus,” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini hari ini.

Jelasnya pelantikan berdasarkan Garis Panduan Ketua Kampung Tradisi Selangor 2019 iaitu warganegara, permastautin kampung, berusia antara 30 hingga 65 tahun dan bebas rekod jenayah serta tidak muflis.

“Tidak timbul isu gender dalam syarat menjadi ketua kampung. Lelaki atau wanita boleh memohon asalkan memenuhi ketetapan dan cekap mentadbir,” kata Rodziah lagi.

Selangor muncul negeri pertama melaksanakan pengarusperdanaan gender untuk mempromosi hak dan menangani diskriminasi terhadap wanita.

Usaha tersebut digerakkan Rodziah, EXCO Pemberdayaan Wanita Dr Siti Mariah Mahmud, EXCO Perumahan Haniza Talha dan EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman.


Pengarang :