Wanita beranak enam yang hilang tempat tinggal ditempatkan di sebuah hotel di Bukit Beruntung. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS bantu ibu anak enam tinggal dalam kereta

SHAH ALAM, 23 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi bantuan kecemasan RM500 kepada seorang wanita beranak enam yang hilang tempat tinggal dan tiada sumber pendapatan.

Wanita berusia 30 tahun bersama anaknya yang berumur antara lima bulan hingga 14 tahun terpaksa tinggal di dalam kereta di Rasa, Hulu Selangor selepas diusir dari rumah sewa.

“Mereka mandi di stesen minyak. Wanita itu dalam proses bercerai, namun tertangguh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan suaminya tidak pulang sejak penghujung Februari lalu.

“Ketika PKP, dia pulang ke Temerloh, Pahang kerana diberhentikan kerja. Apabila balik semula ke sini dia dihalau kerana sewa tertunggak,” maklum LZS di Facebook.

Lebih malang, wanita tersebut disyaki menghidap barah payudara manakala dua orang anaknya yang berusia dua tahun dan lima bulan masing-masing mempunyai masalah jantung berlubang serta ketumbuhan di leher.

LZS berkata keluarga tersebut kini ditempatkan di hotel di Bukit Beruntung yang dibiayai pertubuhan bukan kerajaan Darul Jariyah.

“Wanita itu layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan akan dibantu bayaran sewa rumah, kewangan dan makanan serta bantuan perubatan bulanan,” katanya.


Pengarang :