AGENDAEKONOMINASIONAL

Malaysia kekal berdaya saing berdepan kesan Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Malaysia kekal berdaya saing meskipun berdepan pandemik Covid-19 dan berkembang maju sebagai satu daripada negara pembuatan utama global menerusi penggunaan teknologi Industri 4.0, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azman Mahmud berkata struktur ekonomi negara yang pelbagai dan sokongan berterusan daripada kerajaan dalam mengimbangi kesihatan dan mata pencarian rakyat, menyokong momentum pertumbuhan kapasiti perindustrian Malaysia.

“Bagi mengekalkan kelebihan daya saing kita, keperluan untuk mentransformasikan ekonomi Malaysia menerusi pemerkasaan digital bukan lagi merupakan satu pilihan. Pendigitalan penting kepada ketahanan perniagaan kita pada masa depan,” katanya pada sesi webinar yang dihoskan oleh SEMI Southeast Asia, baru-baru ini.

SEMI Southeast Asia adalah organisasi yang mewakili perniagaan reka bentuk dan pembuatan elektronik.

Bagi mencapai matlamat ini, Mida mengambil langkah proaktif untuk menerapkan inisiatif inovatif dengan memperkenalkan Malaysia’s Lighthouse Project, satu konsep syarikat pemodelan yang menerapkan pembuatan digital dan globalisasi 4.0 dalam model perniagaan dan keseluruhan rantaian bekalan mereka.

Syarikat-syarikat, kata Azman, perlu mengambil peluang untuk memanfaatkan asas kukuh Malaysia yang termasuk ekosistem prasarana dan perniagaan elektrik dan elektronik (E&E) yang dibangunkan sejak 50 tahun lepas.

-BERNAMA


Pengarang :