AGENDAEKONOMI

Malaysia terima pelaburan langsung asing RM31.7 bilion pada 2019

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Malaysia menerima Pelaburan Langsung Asing (FDI) berjumlah RM31.7 bilion pada tahun lepas, naik sebanyak 3.1 peratus daripada RM30.7 bilion yang dicatatkan pada 2018, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Pada masa sama, Pelaburan Langsung di Luar Negara (DIA) 2019 juga merekodkan pertumbuhan yang sihat sebanyak 26.5 peratus pada RM26.1 bilion.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi FDI serta DIA yang menggalakkan ini menunjukkan keadaan ekonomi memberangsangkan dalam negara sehingga berupaya menarik syarikat asing untuk terus melabur, dan mendorong syarikat tempatan mengembangkan serta mempelbagaikan aktiviti mereka ke luar negara.

“Penyumbang utama berdasarkan negara bagi aliran FDI pada 2019 adalah Jepun, Hong Kong dan Belanda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FDI lebih tinggi disebabkan suntikan ekuiti dari Jepun ke Malaysia dalam aktiviti kesihatan, manakala aliran masuk asing kebanyakannya disalurkan ke dalam sektor perkhidmatan, khususnya dalam aktiviti kesihatan, hartanah dan kewangan.

Sementara itu, sektor pembuatan adalah yang kedua tertinggi, terutamanya dalam bentuk instrumen hutang dan ekuiti dalam penapisan petroleum termasuk barangan elektrik dan elektronik, diikuti oleh sektor perlombongan serta kuari.

Selepas mencatat penurunan berterusan sejak 2015 disebabkan ketidakpastian dalam persekitaran global dan kejatuhan harga minyak mentah, pelaburan luar negara telah bertambah kepada RM26.1 bilion daripada RM20.6 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Brazil menjadi destinasi utama bagi DIA khususnya dalam industri minyak dan gas.

Selain itu, syarikat Malaysia banyak melabur dalam sektor perkhidmatan terutama dalam aktiviti kewangan, diikuti dengan pengeluaran produk elektrik dan elektronik serta barangan mineral bukan logam.

Selain itu, FDI yang terkumpul di Malaysia meningkat kepada RM691.6 bilion pada akhir Disember 2019, manakala pelaburan luar negara yang terkumpul berjumlah RM485.4 bilion.

Daripada pelaburan terkumpul pada 2019, pendapatan diterima syarikat FDI adalah lebih banyak daripada DIA, menghasilkan keuntungan lebih tinggi yang diperolehi syarikat asing di Malaysia.

“Sebagai perbandingan, pelabur asing di Malaysia memperoleh RM0.08 untuk setiap RM1.00 yang dilaburkan, manakala syarikat Malaysia menerima RM0.06 bagi setiap RM1.00 yang dilaburkan di luar negara,” kata Mohd Uzir.

Sektor pembuatan mendapat paling banyak manfaat daripada FDI manakala sektor minyak dan gas mendapat faedah yang tertinggi daripada DIA.

Beliau juga menyatakan sejak 2016, FDI dalam sektor perkhidmatan sentiasa mengatasi sektor pembuatan terutamanya dalam aktiviti kewangan.

“Melangkah ke hadapan, dengan pandemik Covid-19 yang belum pernah terjadi sehingga menyebabkan ketidakpastian ekonomi di seluruh dunia, FDI dijangka akan berada dalam aliran lemah untuk 2020,” katanya.

Namun begitu, industri seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal, perubatan dan aktiviti yang berkaitan dengan e-dagang mempunyai peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka walaupun tumpuan berterusan terhadap peningkatan sektor pembuatan akan meluaskan kesan limpahan ke atas ekonomi domestik.

Syarikat tempatan perlu mengambil kesempatan daripada aktiviti ini dengan mengembangkan dan mengukuhkan keupayaan mereka ke arah teknologi termaju bagi mendapatkan hasil yang optimum yang disokong oleh dasar mesra perniagaan untuk meningkatkan ekonomi tempatan, katanya.

“Buat masa sekarang, adalah penting untuk merangsang ekonomi dalam negara kerana ia akan menggalakkan pembangunan dengan penubuhan perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya, sambil menambah pemerolehan pengetahuan daripada pemindahan teknologi adalah kelebihan yang besar kepada negara.

-BERNAMA


Pengarang :