AGAMAAGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini

SHAH ALAM, 11 JUN: Malaysia memutuskan tidak menghantar jemaah haji pada tahun ini, kata menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama).

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia selaras tuntutan agama iaitu mengelak melakukan perkara yang boleh memudaratkan atau kerosakan kepada diri dan negara.

“Saya ingin mengumumkan kepada semua rakyat Malaysia bagi musim haji ditangguhkan ke tahun depan dan keputusan ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan kenyataan lanjut berkaitan perkara ini dan saya berharap semua bakal haji bersabar dan reda dengan keputusan penangguhan ibadat haji tahun ini,” katanya.

Zulkifli berkata keputusan tersebut diambil berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan dan TH serta perbincangan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada Selasa lalu.

“Saya juga akan bertemu Duta Arab Saudi di Malaysia untuk menyerahkan surat rasmi penangguhan haji malah negara seperti Kemboja, Indonesia, Brunei dan Singapura turut ambil keputusan sama,” katanya.

Berhubung penambahan kuota tahun depan berikutan penangguhan tahun ini, Zulkifli berkata perkara tersebut bergantung kepada perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi.

Sebelum ini Arab Saudi menggesa umat Islam menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga penularan Covid-19 dikawal.


Pengarang :