Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kawasan tanah runtuh di Taman Kelab Ukay Bukit Antarabangsa pada 30 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mangsa tanah runtuh Bukit Antarabangsa terima bantuan sewa RM1,000

SHAH ALAM, 4 JUN: Enam keluarga yang juga mangsa tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa pada 30 Mei lalu menerima bantuan sewa rumah RM1,000.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan bantuan selama enam bulan dengan peruntukan RM36,000 diputuskan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor hari ini.

“Mereka juga menerima sumbangan kewangan RM500, keseluruhan berjumlah RM3,000,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM433,800 bagi kerja baik pulih dan pengukuhan tebing Sungai Sering oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.

Turut dilaksanakan menurut Amirudin ialah kajian terperinci di kawasan berkenaan yang berdepan insiden tanah runtuh sejak beberapa tahun lalu.

“Jabatan Mineral dan Geosains Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya akan melantik perunding untuk membuat kajian bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi.

“Agensi itu juga akan membuat analisis dan menilai keutamaan untuk langkah mitigasi berkaitan perlindungan cerun secara tersusun dan berasaskan data saintifik,” katanya lagi.

Pada 30 Mei lalu, penghuni di tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat itu.

Insiden dipercayai berlaku berikutan hujan berterusan yang mengakibatkan pergerakan tanah.

Penduduk yang terjejas kemudian dipindahkan ke Hotel De Palma Ampang selama tujuh hari dengan kos ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.


Pengarang :