Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni mengimamkan solat Jumaat dengan mematuhi SOP dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGAMAAGENDANASIONAL

Masjid, surau di WP dibenar tambah jemaah satu pertiga

SHAH ALAM, 11 JUN: Masjid dan surau di Wilayah Persekutuan berstatus zon hijau dibenar menambah bilangan jemaah kepada satu pertiga daripada keluasan dewan solat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata kebenaran tersebut akan dimulakan dengan solat Jumaat esok.

“Sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 1,000 orang jemaah pada satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 333 orang buat masa ini.

“Kapasiti jemaah akan ditambah secara berperingkat dengan makluman dari semasa ke semasa atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Zulkifli berkata semua golongan dibenar menunaikan solat berjemaah termasuk warga emas dengan syarat mereka sihat.

“Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, jemaah bergejala dan mereka yang menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir buat masa ini. Selain itu wanita dan mereka yang dalam keadaan musafir turut dibenarkan solat di masjid dan surau,” katanya.


Pengarang :