Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni mengimamkan solat Jumaat dengan mematuhi SOP dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Masjid, surau di WP, rumah ibadat bukan Islam dibenar operasi

SHAH ALAM, 15 JUN: Kerajaan membenarkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan beroperasi semula dengan jumlah jemaah satu pertiga daripada kapasiti sebenar kecuali di kawasan zon merah, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembukaan operasi di negeri lain bagaimanapun tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

“Memandangkan kadar pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang tinggi, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP telah memberi kebenaran beroperasi kepada semua masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan kecuali yang berada di zon merah,” katanya ketika sidang media di Putrajaya.

Kebenaran pembukaan semula turut diberikan kepada 5,230 rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara dan tertakluk kepada kebenaran Kerajaan Negeri.

Rumah ibadat bukan Islam boleh beroperasi pada hari dan masa seperti biasa dengan kehadiran satu pertiga dari keluasan selepas perbincangan Kementerian Perpaduan Negara bersama 16 badan serta persatuan agama.


Pengarang :