Pengunjung melakukan aktiviti mendaki di Hutan Pendidikan Bukit Gasing, Petaling Jaya pada 16 Jun 2020 selepas kawasan itu dibuka semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Masyarakat kini bebas tetapi mesti tingkat kawalan kendiri

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang memasuki hari ke-12, menyaksikan lebih banyak ‘kebebasan’ dinikmati namun disiplin pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dan kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat perlu terus dipertingkatkan.

Walaupun kini masyarakat sudah boleh ‘ke sana dan ke sini’ namun perlu beringat penguatkuasaan terhadap SOP masih dikuatkuasakan dan tidak sewenang-wenangnya boleh dilupakan sehingga melanggar peraturan dan undang-undang ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memaklumkan seramai 40 individu telah direman dan lapan lagi dikenakan kompaun, daripada jumlah itu 38 individu ditahan susulan kesalahan menjalankan aktiviti yang menyukarkan jarakan sosial.

Undang-undang yang ditetapkan bertujuan membendung pandemik Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan sejak 18 Mac lepas.

Perkembangan terkini Covid-19 menyaksikan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu di Labu Lanjut, Sepang, yang merekodkan lima kes dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penularan Covid-19 dalam kluster itu disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung.

Semalam, kes baharu Covid-19 di negara ini merekodkan 21 kes.

KKM mengingatkan jangkitan Covid-19 masih wujud dalam komuniti, justeru masyarakat diingatkan mengambil langkah pencegahan terutamanya ketika melakukan aktiviti kunjung-mengunjung bagi melindungi kanak-kanak dan warga emas.

-BERNAMA


Pengarang :