Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Invest Selangor dan Industri Aeroangkasa Malaysia di Bangunan SUK, Shah Alam pada 26 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Industri aeroangkasa wujud 40,000 peluang kerja pada 2030

SHAH ALAM, 26 JUN: Industri aeroangkasa di Selangor mampu mewujudkan 40,000 peluang kerja dalam tempoh sepuluh tahun, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran tersebut bergantung kepada keadaan ekonomi semasa, namun tidak mustahil untuk dicapai.

“Kalau daripada pengalaman lalu baik selepas perang dunia atau kemelesetan ekonomi besar, aeroangkasa akan meningkat dua kali ganda berbanding sebelum krisis.

“Jika sebelum ini kita anggarkan 20,000 ke 30,000 peluang kerja, kalau berjaya pulihkan sektor ini dengan betul silap-silap angka berganda kepada 40,000,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Invest Selangor Berhad dan Industri Aeroangkasa Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata program pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) terus diperhebat bagi menarik minat belia dalam aeroangkasa sekali gus melahirkan tenaga mahir.

Di Selangor, katanya, pemerkasaan TVET melalui Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) dengan peruntukan RM25 juta.

“Tahun lalu, seramai 46 pelatih Iktisass berjaya menamatkan pengajian dalam aeroangkasa hasil perkongsian pintar dengan GE Engine Services Malaysia Sdn Bhd selain kerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur dan politeknik,” katanya lagi.

Selangor menyasarkan menjadi pemain utama industri aeroangkasa di peringkat global pada 2030. Setakat ini, sebanyak 62 peratus syarikat aeroangkasa beroperasi di negeri ini.

Menjelang 2030, aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia dijangka mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).


Pengarang :