BERITA UTAMASELANGOR

MB: Mendaki, kelas muzik, seni dibenarkan semasa PKPP

SHAH ALAM, 12 JUN: Aktiviti pendakian dilakukan dalam kumpulan tidak melebihi tiga orang dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Dato’ Menteri Besar.

“Pendaki dan pengurus taman perlu imbas kod QR menggunakan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), pakai pelitup muka, sentiasa amalkan kebersihan diri dan pastikan penjarakan sosial di antara individu,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

Dalam hantaran berasingan, beliau berkata kebenaran operasi turut diberikan kepada kelas muzik dan seni sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam dan bazaria pula dibuka secara berperingkat mulai 15 Jun ini, namun ditentukan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut kesesuaian kawasan masing-masing.

Semalam, Amirudin memaklumkan sebarang bentuk aktiviti ekonomi, sosial dan rekreasi perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) digariskan Majlis Keselamatan Negara.

PKPP dilaksanakan berkuat kuasa semalam hingga 31 Ogos ini dengan lebih banyak kelonggaran diberikan kepada orang ramai.


Pengarang :