Dato’ Seri Amirudin Shari meneliti cenderamata disampaikan Invest Selangor selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Invest Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Hasan Azhari Idris dan Malaysia Aerospace Industry Association (MAIA) diwakili Presiden Naguib Mohd Nor di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 26 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEKONOMINASIONAL

MB: Pelan pemulihan ekonomi rancakkan industri aeroangkasa

SHAH ALAM, 26 JUN: Pelan pemulihan ekonomi bakal dibentang dalam tempoh terdekat bagi merancakkan industri aeroangkasa, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rangsangan ekonomi dilakukan bagi mencapai sasaran Selangor menjadi pemain utama industri aeroangkasa global sepuluh tahun.

“Penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beri kesan besar kepada industri aeroangkasa sama ada dalam bidang perkhidmatan atau pembuatan.

“Walaupun kebanyakan sektor mula beroperasi namun proses pemulihan industri aeroangkasa masih perlahan contohnya kapal terbang tidak dapat bergerak dan jumlah penumpang juga menurun,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Exco Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim di majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Invest Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Hasan Azhari Idris dan Malaysia Aerospace Industry Association (MAIA) diwakili Presiden Naguib Mohd Nor di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 26 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Invest Selangor Berhad dan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA).

Invest Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Hasan Azhari Idris manakala Naguib Mohd Nor mewakili MAIA.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri sedia mendapatkan pandangan pemain utama aeroangkasa dari semasa ke semasa bagi melindungi serta merancakkan sektor tersebut.

Selangor menyasarkan menjadi pemain utama industri aeroangkasa global pada 2030 menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendali Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO).

Menjelang 2030, aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).


Pengarang :