Peniaga dan pengunjung perlu mematuhi SOP sepanjang berada di pasar atau bakal berdepan tindakan. Foto ihsan MDHS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MDHS beri amaran peniaga langgar SOP pasar

SHAH ALAM, 23 JUN: Masih ada segelintir peniaga yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pasar pagi dan malam di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Antara kesalahan tersebut berniaga tanpa permit dan meletakkan gerai di tempat yang salah.

“MDHS tidak teragak-agak menutup operasi niaga atau mengambil tindakan penguatkuasaan jika perkara ini berterusan. Pemantauan rapi juga dijalankan bagi memastikan semua aspek dipatuhi sebaik mungkin,” kata pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan.

MDHS turut mengingatkan peniaga supaya tidak menggunakan khidmat warga asing dan pekerja dihadkan kepada tiga orang sahaja.

Pengunjung pula katanya, perlu sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan mengikut laluan keluar masuk yang betul.

Bermula 15 Jun lalu, sebanyak lapan pasar di kawasan itu dibenarkan beroperasi iaitu di Serendah, Ulu Yam Bharu, Batang Kali, Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu, Rasa, Kalumpang dan Antara Gapi.


Pengarang :