MDHS keluarkan notis terhadap dua premis ladang ternakan ayam kotor sehingga menganggu penduduk di Gumut Tambahan, Kalumpang. FOTO: MDHS
PBTSELANGOR

MDHS beri notis dua premis ladang ternakan ayam kotor

SHAH ALAM, 7 JUN: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengeluarkan notis terhadap dua premis ladang ternakan ayam yang kotor sehingga menganggu penduduk di Gumut Tambahan, Kalumpang.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya memaklumkan siasatan awal mendapati salah satu premis menjalankan aktiviti proses pengeluaran telur dan ketika operasi terdapat bau sisa tinja ayam yang kuat bermula dari pintu masuk premis dan sekitar kawasan.

“Terdapat satu blok menjalankan aktiviti pengeringan sisa tinja menggunakan jentera pengering dan sembilan blok lagi digunakan bagi pengeringan tinja secara manual.

“Hasil siasatan mendapati sisa tersebut dalam keadaan terbiar dan tidak terkawal dengan kaedah baik sekali gus menjadi punca bau busuk,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, siasatan di premis lain pula mendapati banyak lalat di kawasan kerana pemilik tidak melaksanakan kawalan serangga secara berkesan.

Justeru, MDHS mengambil tindakan ke atas kedua-dua premis dengan mengeluarkan Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Sekysen 82) selama tempoh tujuh hari kepada pemilik.

Siasatan itu dijalankan pada 2 Jun lalu oleh kakitangan MDHS yang terdiri daripada tiga anggota Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta empat anggota Jabatan Penguatkuasa.


Pengarang :