Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menjalankan operasi meroboh struktur tanpa kebenaran di atas rizab kerajaan di kawasan Batang Kali. Foto Facebook Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor.
PBTSELANGOR

MDHS roboh 56 garaj haram

SHAH ALAM, 25 JUN: Sebanyak 56 garaj dibina tanpa kebenaran di Jalan Meranti, Batang Kali dirobohkan bermula 22 hingga 24 Jun, kata Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

MDHS berkata tindakan diambil mengikut Seksyen 46(1) (a) iaitu halangan di tempat awam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) susulan operasi khas cegah denggi dan garaj haram pada 22 Januari tahun ini.

“Sebelum ini MDHS mengeluarkan notis arahan membuka dan merobohkan struktur tidak dibenarkan dalam tempoh 30 hari pada 5 Februari kepada pemilik struktur.

“Semasa perobohan penduduk memberi kerjasama kepada pihak MDHS dengan membuka sendiri struktur binaan susulan notis diterima pada Februari lalu,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

MDHS berkata empat traktor dan lori digunakan untuk meroboh serta mengangkut sisa ke tapak pelupusan Sungai Sabai.

“Orang ramai dinasihat mematuhi peraturan dan jangan membina struktur di rizab kerajaan. MDHS tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang masih berdegil,” katanya.


Pengarang :