PBTSELANGOR

MDHS serbu kilang lebur logam tanpa lesen

SHAH ALAM, 16 JUN: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyerbu dan memecah pintu sebuah kilang melebur logam yang menjalankan aktiviti tanpa lesen di Kawasan Perindustrian Zurah, Rasa pada 12 Jun lalu.

Bahagian Korporatnya memaklumkan premis itu disyaki melebur logam untuk diproses menjadi jongkong logam atau aluminium dan pihak berkuasa mendapati mereka tidak memiliki kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi tujuan berkenaan.

“Berdasarkan laporan diterima kilang tersebut mempunyai pelan bangunan dan kebenaran merancang (KM) dari MDHS tetapi permohonan lesen premis ditolak kerana terdapat isu pencemaran di tapak,” kata kenyataan itu hari ini.

Hasil pemeriksaan bagaimanapun tidak menemui sebarang jongkong aluminium seperti mana aduan bergambar itu.

“Namun MDHS bertindak dengan menyita satu unit forklift, 18 unit jongkong logam serta beberapa peralatan alih lain mengikut akta UUK 38(1) Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDHS 2007.

“Pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memastikan premis tidak terus beroperasi tanpa kebenaran MDHS dan Jabatan Alam Sekitar,” katanya.


Pengarang :