MDKS menangkap lembu berkeliaran ketika operasi bersepadu pemantauan dan penangkapan lembu di kawasan Bestari Jaya, Ijok dan Jeram pada 4 Jun lalu. Foto Facebook MDKS
PBTSELANGOR

MDKS: Boleh didakwa jika biar ternakan berkeliaran

SHAH ALAM, 11 JUN: Pemilik haiwan peliharaan berisiko diheret ke mahkamah jika berdegil membiarkan ternakan berkeliaran di jalan raya sehingga membahayakan pengguna.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Rahilah Rahmat berkata tindakan mengikut Seksyen 13 Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 itu memberi kuasa kepada pihaknya menjalankan pendakwaan.

“MDKS boleh menyita lembu, kambing dan kerbau yang ditangkap serta disimpan di suatu tempat kurungan khas haiwan atas risiko pemiliknya sehingga kos tangkapan, kurungan dan memberi makan ternakan dibayar.

“Penjaga boleh menuntut kembali lembu, kambing dan kerbau selepas bayaran jenis kos sitaan serta jagaan dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Rahilah berkata pihaknya menangkap dua ekor lembu berkeliaran di Rantau Panjang, Bestari Jaya menerusi operasi bersepadu pemantauan dan penangkapan lembu di kawasan awam pada 4 Jun lalu.

Katanya kompaun dikenakan terhadap pemilik ternakan di Jalan Raja Abdullah, Jeram atas kesalahan sama.

“Berdasarkan maklumat diterima orang awam, MDKS menjalankan operasi menangkap haiwan berkeliaran di beberapa kawasan mempunyai masalah ini,” katanya.


Pengarang :