Jabatan Peguam Negara menjalankan kajian keperluan menggubal undang-undang khusus bagi menangani kes hina mahkamah.
AGENDA NASIONAL

Mediasi boleh dijalankan secara dalam talian – PKPMP

PUTRAJAYA 2 JUN: Mediasi di mahkamah kini boleh dijalankan secara dalam talian, tanpa kehadiran pihak-pihak terbabit ke mahkamah.

Mediasi secara dalam talian ini merupakan satu inisiatif Badan Kehakiman, dalam memastikan akses kepada keadilan dapat diberikan kepada semua peringkat masyarakat, seiring dengan normal baharu yang diamalkan pada masa kini.

Mengikut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), sesi mediasi secara dalam talian berkenaan, merupakan alternatif kepada mediasi yang dijalankan di Pusat Mediasi Mahkamah.

“Tiada perubahan bagi prosedur mediasi secara dalam talian, berbanding mediasi di Pusat Mediasi Mahkamah, melainkan perbezaan mod perhubungan, iaitu sesi mediasi secara dalam talian boleh dijalankan dengan menggunakan medium komunikasi melalui aplikasi yang dipersetujui oleh pihak-pihak, seperti Skype atau Zoom,” menurut kenyataan tersebut.

Bagi memudahkan orang ramai memahami tatacara pengendalian mediasi berkenaan, PKPMP mengeluarkan Prosedur Pengendalian Mediasi Secara Dalam Talian dan Prosedur Pengendalian Mediasi di Pusat Mediasi Mahkamah.

Kedua-dua prosedur berkenaan merangkumi tatacara pengendalian mediasi yang terbahagi kepada pra mediasi, semasa mediasi dan pasca mediasi.

Prosedur berkenaan berkuatkuasa mulai hari ini, mengikut kenyataan PKPMP itu.

Infografik berkenaan prosedur tersebut, boleh diakses melalui Portal Rasmi Badan Kehakiman Malaysia di pautan www.kehakiman.gov.my

-BERNAMA


Pengarang :