AGENDANASIONAL

Memandu di bawah pengaruh alkohol, lelaki direman empat hari

SEREMBAN, 4 JUN: Seorang penganggur direman empat hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian 10.40 malam semalam di Taman PD Utama, lelaki berusia 45 tahun itu telah diarahkan berhenti oleh anggota polis bagi tujuan pemeriksaan selepas dia didapati memandu dalam keadaan mencurigakan.

“Setelah diarahkan berhenti, pemeriksaan yang dijalankan tidak menemukan sebarang barang salah. Seterusnya pemandu diarahkan menjalani ujian saringan penafasan bagi mengesan alkohol.

“Hasil ujian berkenaan, bacaan menunjukkan terdapat lebihan alkohol dalam darah. Pemandu berkenaan telah ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

– BERNAMA


Pengarang :