AGENDASUKANKINI

MFL: Patuhi SOP fasa 1 jika mahu segera berlatih

SHAH ALAM, 17 JUN: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengingatkan semua pasukan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) latihan fasa 1 kerana ia bakal menjadi penanda aras penting sebelum dilanjutkan kepada fasa 2.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Ab Ghani Hassan berkata kerjasama semua pihak membolehkan sesi latihan membabitkan sentuhan badan seperti sebelum ini dilaksanakan lebih cepat.

“Ikutlah seperti ditetapkan oleh SOP itu kerana ia penting terutamanya untuk kita mengurangkan atau tidak memberi ruang kepada Covid-19 dan paling penting untuk menunjukkan kepada kerajaan bahawa latihan bola sepak dikendalikan MFL tidak ada masalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan setiap pasukan harus mematuhi SOP ditetapkan iaitu penjarakan sosial sekurang-kurangnya tiga sehingga lima meter untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak bermula 15 Jun lalu.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama mendapat kebenaran menjalani latihan daripada MFL selepas Majlis Keselamatan Negara memberikan kebenaran untuk berlatih mengikut SOP ditetapkan.

Empat kriteria utama yang perlu dipatuhi semua pasukan adalah melakukan ujian calitan, melantik pengawai penyelaras, menamakan pusat latihan dan mendaftarkan melalui pautan miti.gov.my (MITI) selain venue juga perlu melakukan proses nyah kuman.

MFL menyasarkan musim Liga Malaysia 2020 disambung semula September hadapan selepas ditangguhkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.


Pengarang :