AGENDAEKONOMINASIONAL

MIDF: Eksport Malaysia Mei 2020 terendah 11 tahun, impak Covid-19

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Eksport Malaysia susut 25.5 peratus tahun ke tahun pada Mei 2020 kepada paras terendah dalam tempoh 11 tahun, penurunan ketara sejak Mei 2019 dan menunjukkan kesan berterusan pandemik Covid-19 ke atas ekonomi yang bergantung kepada eksport, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikan semalam berkata prestasi tersebut sejajar dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, yang turut mengalami penurunan melebihi 20 peratus tahun ke tahun bagi eksport masing-masing.

“Seperti eksport, import Malaysia juga susut 30.4 peratus tahun ke tahun, penyusutan terbesar sejak Januari 2009. Bagaimanapun, memandangkan import susut lebih ketara berbanding eksport, imbangan perdagangan mencatatkan lebihan sebanyak RM10.4 bilion, menepati jangkaan kami,” menurutnya.

Ia berkata namun, eksport akan meningkat secara beransur-ansur pada bulan-bulan akan datang susulan ekonomi negara-negara utama akan dibuka secara perlahan-lahan.

MIDF berkata eksport ke semua negara utama mengalami penyusutan, kecuali ke China, yang terus mencatatkan pertumbuhan bagi bulan kedua berturut-turut pada 4.5 peratus dipacu oleh antaranya produk petroleum dan minyak sawit.

Bagaimanapun, eksport ke negara utama lain termasuk Amerika Syarikat (AS) Jepun, Kesatuan Eropah dan rantau ASEAN masih berada dalam lingkungan negatif.

“Kesan Covid-19 muncul sebagai risiko utama bagi aliran perdagangan global kerana ia menjejaskan penawaran dan permintaan barangan.

“Ini termasuk Malaysia khususnya dengan hampir dua bulan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menganggu pengeluaran dan eksport,” kata bank itu.

Prestasi perdagangan luaran terkini China menunjukkan beberapa peningkatan walaupun prestasi sektor utama amnya masih ada yang diragui.

Tambahan pula, langkah dasar perlindungan meningkat terutama disebabkan memuncaknya kembali ketengangan AS-China yang mungkin memberi ancaman besar ke atas perdagangan asing.

MIDF berkata eksport semua produk utama turut mengalami penurunan, dengan eksport sektor utama mencatatkan penyusutan pada Mei 2020, dengan sektor perlombongan yang termasuk petroleum mentah dan gas asli cecair, merekodkan penurunan paling ketara (-49.1 peratus tahun ke tahun).

Bank pelaburan itu berkata begitu juga dengan sektor elektrik dan elektronik yang menjadi bahagian terbesar daripada jumlah eksport, meneruskan prestasi negatif untuk bulan ke-10 namun pada kadar yang sedikit perlahan berbanding semasa April 2020.

Sektor ini akan tetap suram bagi bulan-bulan akan datang bukan sahaja disebabkan oleh Covid-19 malah susulan kemelut AS-China.

Minyak sawit dan produknya juga merosot pada kadar yang lebih ketara -15.6 peratus tahun ke tahun namun mungkin meningkat dalam beberapa bulan akan datang memandangkan India secara beransur-ansur membuka kembali ekonominya, kata MIDF.

-BERNAMA


Pengarang :